Polyglot? Apakah itu polyglot? Pertama kali aku terjumpa perkataan ini aku tidak berbuat apa-apa. Mungkin ia hanya satu istilah yang tidak terlalu penting untuk perbualan harian. Yelah, umur dah lebih 20 tahun baru dengar perkataan ni.
Polyglot berasal dari gabungan dua perkataan dalam bahasa Yunani yang bermaksud banyak dan lidah. Secara mudahnya ia boleh difahami sebagai seseorang yang mampu memahami dan bertutur dalam banyak bahasa. Jadi berapa banyak bahasa yang melayakkan seseorang digelar seorang polyglot? Kebiasaannya mereka yang menguasai sekurang-kurangnya empat bahasa sudah boleh dipanggil sebagai polyglot.
Kenapa tiba-tiba aku terlintas nak cakap pasal polyglot ni? Yang pertama sebab benda ni aku rasa agak asing di pendengaran orang Malaysia. Yang kedua sebab aku nak menggalakkan lebih ramai orang menguasai banyak bahasa.
Lazimnya rakyat Malaysia boleh menggunakan sekurang-kurangnya dwibahasa sehingga tahap tertentu. Itupun merupakan satu pencapaian peribadi yang sudah boleh dibanggakan. Apa kata kalau kita belajar lagi banyak bahasa? Mesti lagi meriah kan?
Zaman sekarang ni dah terlalu banyak sumber dan cara untuk belajar secara amnya. Pembelajaran juga sudah tidak terbatas dalam kelas fizikal sahaja. Ketika musim pandemik ni, banyak peluang terbentang untuk belajar di alam maya. Jadi gunakan masa dan peluang sebaiknya untuk belajar lagi, lagi dan lagi. Tak kira la korang di peringkat mana sekarang ni. Sama ada masih bersekolah, di universiti ataupun sudah melangkah ke alam pekerjaan, pintu untuk belajar tak pernah tertutup. Bak kata orang Jerman, Lebenslanges Lernen iaitu belajar berterusan sepanjang hayat.
Secara peribadi, aku sangat suka belajar bahasa. Tak kira la bahasa apa pun. Dengan mengetahui banyak bahasa, kita boleh mengenali budaya kaum dan masyarakat lain. Kita juga dapat lebih memahami cara fikir komuniti tersebut. Selain itu, kita juga dapat membuka mata dan hati untuk menilai dengan lebih matang. Semua kelebihan yang aku sebutkan tadi kita boleh dapat juga ketika melancong ke luar negara. Tapi tak semua orang berkemampuan untuk ke luar negara. Kalau dapat pun dengan masa yang terhad. Jadi dengan mempelajari bahasa, kita akan mendapat manfaat yang sama seperti kita melancong tapi dengan kos yang jauh lebih murah.
Di zaman serba canggih ni, hampir semua orang memiliki telefon pintar. Apatah lagi musim wabak ni yang memaksa semua orang untuk menggunakan teknologi. Jadi, alang-alang dah ada peranti yang pelbagai, manfaatkan la dengan memuat turun aplikasi dan melayari laman-laman yang sarat dengan ilmu dan berfaedah .
Pasal polyglot yang aku sebutkan awal tadi aku akan ulas lagi dalam post yang akan datang. Kali ni sebagai pengenalan dulu. Ciao!
Sekian, terima kasih.

No comments:
Post a Comment