"What really counts are good endings, not flawed beginnings."

Tuesday, November 24, 2015

Week 47 - Makan Malam Duisburg

Bismillah

Sudah lama rasanya tak update blog ni. Setelah disibukkan dengan peperiksaan, cuti semester dan sebagainya yang menyebabkan penulisan tertangguh sekian lama, maka hari ni aku kembali semula. Mungkin masih terlambat untuk mengucapkan "Selamat Kembali ke Universiti" bagi mahasiswa/i di Jerman.

Baru-baru ini berlangsung satu majlis makan malam di Duisburg - majlis di mana kebiasaannya dapat mengumpulkan pelajar-pelajar luar negara. Waktu ni la kita boleh berkumpul dengan rakan senegara sebab selalunya jarang ada kesempatan untuk berkumpul. Kalau pergi kuliah pun cuma boleh jumpa rakan yang sama bidang. Tu pun kalau kat universiti tu ramai Malaysian la.


Maka AZIM selaku salah satu persatuan pelajar yang ada di Jerman mengambil inisiatif untuk menjadi tuan rumah ataupun hos untuk mengacarakan majlis kali ni. Majlis yang bersifat setempat ini mensasarkan masyarakat Malaysia di Duisburg secara khusus dan di NRW secara umum.

Keadaan rumah sebelum majlis
Behind the scene
Nasi Harum Manis dan Ayam Masak Merah
 Menu hari tu sememangnya bertemakan makanan Malaysia (dan sedikit Western). Juadah utama terdiri daripada nasi harum manis, ayam masak merah dan dalca. Manakala menu sampingannya ialah keropok ikan dan nugget ayam. Keropok ni memang takde jual la kat kedai. Jadi kalau nak makan kena buat sendiri menjadikan ia satu hidangan eksotik kat sini. Haha. (Boleh ke cakap macam tu?) Sebagai pencuci mulut pula kita ada bubur pulut hitam. First time kot rasanya aku makan. Menurut kawan aku bubur ni terkenal kat sebelah utara.

Sesi tazkirah dan jamuan ringan selepas solat
Son Goku pun nak dengar tazkirah *grin*
Antara tetamu yang hadir
Bendera Malaysia terpampang megah di dalam rumah
Tetamu mula datang jam 15.15 walaupun majlis mula pukul 15.30. Majlis dimulakan dengan jamuan makan. Ada beberapa pelajar baru dan pelajar pertukaran yang turut hadir memeriahkan majlis. Lepas habis makan tu dah masuk waktu maghrib. Jadi kitorang solat dulu la kemudian majlis diteruskan lagi dengan sedikit tazkirah atau peringatan.

Peringatan kali ni berkisar tentang pengurusan masa. Tajuk yang dikemukakan memang kena la dengan situasi kita selaku pelajar di mana pentingnya pengurusan masa yang berkesan. Penyampai menggunakan surah al-'Asr sebagai rujukan beliau dan mengambil kisah yang diceritakan oleh Ustaz Nouman Ali Khan untuk dijadikan santapan minda pendengar.

Selepas selesai majlis, kami bergegas ke masjid berdekatan untuk solat Isyak. Tetamu mula pulang selepas balik dari masjid. (Kat Jerman pun ada masjid tau)

Diharapkan majlis sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Selain dapat mengeratkan silaturahim sesama pelajar, boleh juga berkongsi pengalaman dan ilmu yang kita ada. Bukankah manusia itu saling melengkapi?

Sebelum korang pergi, jom kita sama-sama tengok maksud dari surah al-'Asr:

1. Demi masa.
2. Sesungguhnya manusia dalam kerugian.
3. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.

(al-'Asr, 103: 1-3)

Sekian, terima kasih.

Wassalam.

Friday, June 05, 2015

Week 22 - Japan-Tag in Düsseldorf

Bismillah

Sekali lagi kita berada di Düsseldorf. Tetapi ada sedikit kelainan pada kali ini sebab ada suatu festival yang mana merupakan festival tahunan bagi bandar Düsseldorf khususnya dan negeri NRW amnya. Festival tersebut diberi nama Japan-Tag ataupun Japan Day dalam bahasa Inggerisnya. Festival ini kebiasaannya disambut pada bulan Mei.

Lokasi festival ini adalah di kawasan Altstadt. Korang boleh datang ke sini sama ada dengan Tram atau U-Bahn dan turun di stesen Heinrich-Heine-Allee. Stesen ini cuma terletak beberapa stesen sahaja dari Düsseldorf Hbf.


Ramai orang bertanya kenapa Japan Tag? Ada sesuatu ke yang istimewa yang membolehkan masyarakat Jepun di sini disambut dengan meriah sekali? Sebenarnya dalam banyak-banyak bandar (selain Jepun) dalam dunia ni, Düsseldorf mempunyai penduduk Jepun paling padat. Maka wajarlah kiranya mereka diraikan sebegitu sekali.



Semasa festival ada pelbagai aktiviti diadakan yang pastinya berasaskan negara matahari terbit itu. Yang paling ketara adalah pemakaian kostum. Pelbagai kostum daripada watak anime diperagakan seperti dalam anime One Piece, Naruto, Pokemon dan lain-lain. Ada juga kostum yang bukan daripada watak anime. Yang pastinya kewujudan mereka memeriahkan festival tersebut.

Onigiri
Selain daripada itu, banyak gerai-gerai dibuka untuk memperkenalkan budaya Jepun kepada masyarakat. Ada gerai makanan, pakaian, pelancongan dan lain-lain. Para wanita juga boleh mencuba untuk memakai kimono - pakaian tradisional Jepun.
 

Ini merupakan pentas utama bagi festival ini. Disinilah terdapat pelbagai persembahan diadakan. Masa aku pergi ni diorang tengah bersiap untuk orkestra. Ada empat lagu dimainkan iaitu lagu tema Naruto, lagu tema Frozen - Let it Go, lagu daripada kumpulan Arashi - satu kumpulan yang terkenal di Jepun dan juga lagu tradisional Jepun - aku lupa apa nama dia.




Korang boleh nampak sendiri la betapa ramainya manusia yang datang ke festival ni. Jadi jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Düsseldorf semasa festival ni berlangsung untuk rasai sendiri pengalaman menarik yang tak mampu aku nak ungkapkan dengan kata-kata. Ewah! Hahaha.


Festival diakhiri dengan pertunjukan bunga api. Acara tersebut bermula jam 11 malam. Aku rasa ni la pertunjukan bunga api paling lama aku tengok - hampir setengah jam. Jadi rasanya berbaloi la aku tinggal kat sini sampai malam.

Sekian sahaja kali ni.

Wassalam.

Friday, May 22, 2015

Week 20 - Duisburg und Krefeld

Bismillah

Alhamdulillah #weekendprojekt masih lagi berjalan seperti biasa. Kali ni kita berada di dua bandar dan entri kali ni sebenarnya lebih bertumpu kepada aktiviti la. Aku tak jalan-jalan sangat minggu ni walaupun cuti panjang.

Minggu ni kami ada cuti umum pada hari Khamis sempena Christi Himmelfahrt, salah satu perayaan dalam ajaran Kristian. Kemudian hari Jumaat tu pensyarah awal-awal lagi dah batalkan kelas. Sangat memahami pensyarah yang seorang tu. Haha. Maka jadilah cuti aku empat hari pada minggu ni. Walaubagaimanapun cuti panjang tersebut gagal 'dimanfaatkan' sepenuhnya.

Sebelum kita ke tarikan utama kita, aku nak ajak korang sama-sama melihat universiti tempat aku belajar. Aku sekarang sedang belajar di Universität Duisburg-Essen (University of Duisburg-Essen) dan kampus aku terletak di Duisburg. Kampus di Duisburg agak berselerak dan tidak teratur. Jadi kadang-kadang tu aku terpaksa naik bas ataupun tram untuk pergi ke kelas seterusnya.


Kali ni aku cuma nak tunjuk salah satu Bereich ataupun kawasan dalam universiti (selepas ini disebut Uni). Kawasan dinamakan L Bereich bersempena dengan nama jalan iaitu Lotharstr. Ada beberapa lagi Bereich lain seperti M dan B Bereich.


Bangunan yang korang nampak ni ialah Audimax ataupun dewan kuliah utama. Untuk semester ni aku belajar kat sini untuk dua subjek iaitu Numerische Methoden für Ingenieure (Numerical Methods for Engineers) dan Werkstofftechnik 2 (Material Science 2). Dewan ni masih lagi baru dan segala kemudahannya nampak moden la. Kalau tak silap aku ni bangunan paling baru kat kampus Duisburg.

Baiklah. Sekarang kita bergerak ke Krefeld. Satu bandar yang terkenal dengan keindahannnya. Kononnya la. Haha. Kali ni aku ke sini untuk berbarbeku ataupun bak kata orang Kelantan, 'bakar ayam'. Majlis ni dibuat di Stadtpark Fischeln, sebuah taman yang tak jauh dari Krefeld Hbf. Korang boleh naik tram 042 dan turun kat Thyssenstraße. Selepas tu, korang kena jalan kaki lebih kurang lapan minit untuk sampai ke destinasi. Kat taman ni juga ada gelanggang futsal, taman permainan dan laluan untuk berbasikal.

Ayam
Kambing
Kambing (belum bakar)
Haa ni la menu utamanya : ayam dan kambing. Susah oo nak dapat kambing. Selalunya ada ayam je tiap kali buat barbeku. Selain daripada ini ada lagi makanan sampingan seperti kek cawan, cream puff, kuih keria dan ada satu lagi pencuci mulut yang aku tak ingat nama dia. Majlis kali ni mengumpulkan senior-senior dari serata tempat dalam NRW, Krefelder dan juga budak batch aku la dari Duisburg. Kira ramai juga la hari tu. Dalam 20 ke 30 orang.




Tiap kali ada majlis macam ni je mesti ada bola. Objek wajib la tu. Selain itu ada juga yang bawa daun terup dan poker set untuk menghilangkan kebosanan yang melanda diri masing-masing. Aktiviti-aktiviti macam ni la yang boleh merapatkan persaudaraan sesama pelajar Malaysia kat sini.

Insya-Allah kalau cuaca elok boleh la buat barbeku lagi. Masa musim panas je boleh buat aktiviti outdoor macam ni. Kalau musim sejuk jangan harap la nak keluar rumah. Sejuk kot. Semua nak berbungkus dalam selimut je.

Sebelum aku akhiri entri kali ni, marilah kita sama-sama hayati sepotong ayat al-Quran yang bermaksud:

"Harta dan anak pinak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amal-amal soleh yang berterusan adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan."

(Al-Kahf, 18 : 46)

Jom sama-sama baca surah al-Kahf!

Sekian, terima kasih.

Wassalam.

Friday, May 15, 2015

Week 19 - Düsseldorf

Bismillah

Pertama sekali ingin aku memohon maaf sebab lambat update entri kali ni. Minggu ni aku sedikit sibuk sebab aku ada lab session untuk subjek Werkstofftechnik 2. Jadi seperti yang tertera pada tajuk kat atas tu, sekali lagi aku berada di Düsseldorf, ibu negeri NRW.

Kedatangan aku kali ni takde la nak berjalan sangat. Minggu ni aku datang sebab nak pergi Trödelmarkt ataupun Flohmarkt (flea market). Ada banyak barangan yang murah dan segar dijual di sini. Flohmarkt kat Düsseldorf cuma beroperasi pada hari Sabtu.

Ada bas percuma disediakan bagi sesiapa yang nak datang ke sini. Boleh naik bas 893 dari stesen tram Uni-Kliniken atau Aachener Platz. Kalau nak turun pula boleh turun kat Ubierstraße kalau tak silap aku. Senang cerita korang turun la kat tempat yang orang ramai-ramai turun tu.


Inilah suasana di pintu masuk pasar ni. Boleh nampak kan betapa ramainya orang kat sini. Pasar ni memang menjadi tumpuan orang ramai terutama sekali kepada golongan yang dah berkeluarga ataupun warga emas.





Terdapat pelbagai barangan kat sini. Korang nak apa? Sebut je. Hampir semua ada. Pakaian, makanan, barangan elektronik, buku semua ada. Harganya pun lebih murah berbanding dengan harga sebenar.


Berhadapan dengan Flohmarkt tadi ada taman. Tempat ni sesuai la untuk aktiviti beramai-ramai. Disediakan juga tempat BBQ bagi sesiapa yang berminat. Kena bawa jaring dengan arang sendiri la yang pastinya.




Kat sini juga ada taman permainan untuk kanak-kanak dan beberapa gelanggang untuk bersukan. Masa aku datang ni tengah hari, sebab tu la takde budak-budak datang main kat sini. Sebelah petang ramai la orang kat sini.


Ni pula bazar Jepun yang dibuka di hadapan (atau belakang) Düsseldorf Hbf. Aku jumpa bazar ni pun secara kebetulan. Diorang buat jualan ni mungkin untuk mengutip dana untuk membantu rakyat diorang. Mungkin la. Aku pun tak tahu.

Baiklah. Itu sahajalah aktiviti #weekendprojekt pada minggu ni.

Sekian, terima kasih.

Wassalam.


Tuesday, May 05, 2015

Week 18 - Duisburg und Düsseldorf

Bismillah

Alhamdulillah kali ni cuti hujung minggu aku bertambah sehari disebabkan cuti Hari Pekerja yang jatuh pada hari Jumaat. Maka aku gunakan kesempatan ini untuk meluangkan bersama dengan rakan-rakan. Bukan selalu dapat cuti 'panjang' kan? Hahaha.


Tempat pertama yang kita pergi ialah taman. Taman ni terletak di Werthauser Straße, Duisburg tak jauh dari rumah kawan aku. Belakang rumah dia je sebenarnya. Apa yang menarik sangat pasal taman ni? Yang menariknya ialah pokok-pokok cherry blossoms tu la. Lagi satu tempat ni takde orang sangat. Mungkin sebab jauh dari bandar.


Seterusnya kita beralih kepada aktiviti pula. Takde la nak beraktiviti sangat pun. Kami buat ni pun suka-suka je. Macam perkelahan mini la kiranya - bertemakan sarapan pagi. Maka segala hidangan yang berada di depan mata tuan/puan sekalian adalah semuanya untuk sarapan. Banyak kan? Ada sandwich, sosej, makaroni bakar, samosa, dadih dan paling penting ialah air teh. Kalau takde air boleh tercekik, ye tak?



Kat taman ni juga ada kawasan permainan untuk kanak-kanak. Yang berumur bawah 14 tahun sahaja dibenarkan bermain. Boleh nampak kan tu ada sikit tempat buaian. Taman ni sesuai untuk aktiviti bersama anak-anak. Taman ni tak la besar sangat jadi senang la nak kawal budak-budak. Haa dalam gambar-gambar ni ada model tak berbayar. Kalau ada siapa-siapa yang berkenan boleh la bagitahu aku. Hehe.


Di sebelah petang pula aku berada di Düsseldorf untuk mini reunion bersama dengan bekas guru kami semasa kami menjalani kursus bahasa di IIK Düsseldorf. Lokasinya di sebuah restoran Jepun - tak jauh daripada Düsseldorf Hbf. Nama restoran ni Takumi kalau tak silap aku. Menu kat sana agak terhad la untuk muslim. Cuma ada beberapa hidangan je yang kita boleh makan. Boleh la datang sini bagi sesiapa yang nak cuba makanan Jepun.

Erdbeerbecher
 


Lepas tu kami bergerak ke kedai aiskrim yang terletak di kawasan Altstadt. Pia Eis nama kedainya. Kedai ni dikatakan terkenal - sebab apa tu tak tahu la pula. Memang selalunya kalau aku datang kedai ni, aku kena beratur panjang baru dapat makan aiskrim. Masa kami datang ni pun susah nak cari tempat duduk. Tapi berbaloi la rasanya beratur panjang kalau dapat makan aiskrim sedap. Yang aku order kat atas tu ialah Erdbeerbecher. Erdbeer tu maksudnya strawberi dan Becher pula gelas besar tu.


 Gambar terakhir sebelum kami berpisah. Lokasinya di kawasan Altstadt - tak jauh dari kedai Pia Eis tadi. Waktu ni dah pukul 20.30 walaupun kat luar nampak masih cerah. Ye la. Sekarang kan musim panas jadi waktu siang makin panjang la.


Inilah rupa Altstadt pada waktu malam. Rumah besar tu ialah Rathaus (city hall) dan patung tu aku tak ingat patung siapa. Lokasinya sangat hampir dengan sungai Rhine. Kalau jalan sikit lagi dah jumpa sungai.

Sebelum aku akhiri entri kali ni, marilah kita sama-sama hayati sepotong ayat daripada al-Quran mafhumnya:

Tidakkah mereka hayati al-Quran, atau apakah hati mereka sudah terkunci?

(Muhammad, 47 : 24)

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan mereka yang sudah terkunci hatinya daripada menerima rahmat dan hidayah Allah. Amin.

Sekian, terima kasih.

Wassalam.

Monday, May 04, 2015

Week 17 - Berlin

Bismillah

Alhamdulillah minggu ni aku bergerak jauh sedikit daripada kebiasaan. Kali ni aku berada di Berlin, ibu negara Jerman. FYI, Berlin merupakan bandar terbesar di Jerman. Perjalanan aku kali ni bukanlah biasa-biasa. Semoga Allah memberkati perjalanan aku.

Aku bersama rakan-rakan dari Duisburg tiba di sana lebih kurang jam 1.30 pagi. Perjalanan dengan kereta dari Duisburg memakan masa lebih kurang 5 jam. Tak banyak yang dapat aku ceritakan semasa dalam perjalanan ke sana sebab hampir sepanjang masa aku tidur. Hahaha.

Maka bermulalah program aku di Berlin pada pagi Sabtu. Setelah seharian berkurung di dalam rumah pada hari tersebut, maka kami beramai-ramai keluar berjalan-jalan di kawasan sekitar.


Ni merupakan salah satu taman terdekat. Aku tak tahu secara spesifik apa nama tempat ni tapi taman ni berhampiran dengan stesen U-Bahn Residenzstr.. Taman ni sesuai la untuk aktiviti riadah. Kawasan dia pun tak besar mana. Di sebalik tasik tu ada taman permainan untuk kanak-kanak. Diulangi sekali lagi: Kanak-kanak.

Kirschblüten
Dari jalan yang bercabang tadi kita ke kanan dan sampai la ke sini. Gambar ni takde la apa-apa yang menarik sangat pun tapi tak tahu la kenapa gambar ni jadi sangat menarik di mata aku. Aku sendiri pun masih tak boleh tafsir apa maksud gambar yang aku ambil ni.

Spielplatz
Ni la taman permainan yang aku maksudkan tadi. Hanya sesuai untuk kanak-kanak sahaja. Semua alat permainan di sini dibuat daripada bahan asli dan tidak dicat untuk mengekalkan keaslian bahan tersebut.


Gambar ini menutup tirai perjalanan kami pada hari Sabtu. Ni antara rakan-rakan dari Duisburg yang turut sama menjayakan program kali ini. Terima kasih banyak-banyak.


Akhirnya tibalah waktu untuk pulang ke tempat asal. Kami bertolak pulang dengan kereta Opel Zafira - kereta yang sama dengan yang kami naik hari tu. Kami bertolak pulang pada waktu tengah hari dan seterusnya singgah ke satu kedai makan ni untuk mengisi perut.

Mango Lassi
Tibalah kami di Zam Zam Restaurant. Restoran ini antara kedai makan halal yang ada di Berlin. Bolehlah datang ke sini kalau berkelapangan. Lokasinya terletak di Hauptstraße. Oh lupa nak bagitahu. Restoran ni merupakan sebuah restoran Pakistan. Ada juga restoran Indonesia di Berlin bagi sesiapa yang nak rasa masakan Melayu.

Baiklah. Sekian sahajalah catatan ringkas aku berkenaan Berlin. Disebabkan fokus kali ni bukan la pada jalan-jalan sangat, maka agak kurang la gambar-gambar menarik untuk dikongsikan. InsyaAllah lain kali sekiranya diberi kesempatan.

Sebelum aku menutup tirai pada minggu ini, marilah kita sama-sama renungkan potongan ayat daripada al-Quran yang bermaksud:

(1)Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang;  
(2)Dan hari (pembalasan) yang dijanjikan; 
(3)Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan; -
(4)Celakalah kaum yang menggali parit, 
(5)(Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran, 
(6)(Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya, 
(7)Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman. 
(8)Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji! 
(9)Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu.    

Rujukan : http://www.surah.my/85

(Al-Buruj, 85 : 1 - 9)

Sekian, terima kasih.

Wassalam.